/*
- »
*/

Sunday, March 14, 2010

Penilaian Pengajaran Lisan

PENILAIAN PENGAJARAN LISAN
Pengajaran lisan menjadi asas dalam pengajaran bahasa. Pada peringkat awal perkembangan bahasa kanak-kanak, lisan telah mengambil tempat yang utama. Kemahiran menguasai bahasa lisan semakin terserlah apabila kanak-kanak menjangkau usia 4 tahun. Walau bagaimanapun tahap keupayaan lisan kanak-kanak berbeza antara individu. Hakikat ini mula terasa apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Perbezaan budaya, latar belakang keluarga dan persekitaran menjadi punca yang melebarkan jurang pemisah antara kanak-kanak ini. Di sekolah, guru dapat mengesan perbezaan ini semasa proses pengajaran dijalankan.
Oleh yang demikian, bagaimanakah keadaan ini dapat diperbaiki? Sejauh manakah para pendidik telah meneroka kaedah-kaedah baru untuk mencungkil kemahiran lisan kanak-kanak selain kaedah yang telah sedia ada? Mungkin penggunaan teknik melukis dapat menggerakkan kemahiran lisan ini. Walau bagaimanapun penggunaan teknik ini hanya merupakan satu daripada sejuta teknik yang masih belum diterokai.
PENGAJARAN LISAN
Pengajaran lisan tidak dapat dipisahkan daripada pengajaran bahasa. Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR, sebahagian besar kemahiran yang diajar terdiri daripada kemahiran lisan. Pengajaran lisan diberikan tumpuan kerana lisan menjadi asas utama penguasaan bahasa kanak-kanak.
Dalam pengajaran lisan, penggunaan bahan rangsangan amat dititikberatkan. Kaedah TPR (Total Physical Response) oleh James Asher misalnya, menekankan pengajaran bahasa melalui kemahiran mendengar dengan menggunakan bahan rangsangan. Hasilnya akan berlakulah tindak balas daripada murid. Kemahiran yang merupakan asas perkembangan struktur linguistik ini sangat penting dalam proses pembelajaran kanak-kanak. Seterusnya kemahiran ini menjasi asas pula pada kemahiran membaca dan menulis di kalangan kanak-kanak.
Dalam banyak kajian, didapati murid yang lemah penguasaan lisannya akan terjejas pula keupayaannya dalam membaca dan menulis. Keupayaan menyusun bahasa lisan dengan baik, dengan sendirinya akan mempengaruhi keupayaan menulis (Muhd. Hilmy Hj. Ismail, 1982). Berdasarkan kenyataan ini, apa yang berlaku di sekolah ialah murid tidak berupaya menulis dengan baik kerana tahap penguasaan lisannya lemah.
Jarang benar ditemui murid yang petah berkata-kata apabila ditemu bual atau diminta bercakap. Sebaliknya, mereka akan terkial-kial dengan kelancaran yang terbatas apabila memberikan pendapat atau menjelaskan sesuatu. Dalam sesetengah kaedaan, para guru lebih bersikap mendesak ketika memberi ruang kepada murid untuk bercakap. Murid yang becok bercakap dihalang dengan pelbagai gelaran, manakala murid yang lembab akan disisih. Sekiranya peluang bercakap tidak diberi, sudah tentu satu daripada komponen bahasa yang sangat penting tidak akan dikuasai oleh murid.
Di sekolah, penggunaan kaedah gambar (gambar tunggal dan gambar bersiri) sudah lama diamalkan. Kaedah ini cuba membantu murid menyusun dan menggerakkan idea waktu pengajaran lisan dijalankan. Namun begitu, penggunaan gambar hanya dapat menarik minat murid untuk berkomunikasi melalui apa yang dapat dilihat dalam gambar tersebut sahaja. Murid mengalami kesukaran untuk mengembangkan idea mereka, terutama melalui penggunaan gambar tunggal. Justeru itu, disarankan kaedah melukis bagi mengubah persepsi murid dan guru terhadap penggunaan gambar tunggal sewaktu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Pendekatan ini menekankan penggabungjalinan subjek seni lukis dan bahasa. Proses ini akan memperlihatkan bagaimana gambar yang dilukis sendiri oleh murid berupaya membantu penguasaan lisannya dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa.

TEORI LINGUISTIK TRANSFORMATIONAL GRAMMAR
Teori Linguistik Transformational Grammar yang diperkenalkan oleh Noam Chomsky (1965) dapat memperjelas perkembangan lisan kanak-kanak. Teori ini melihat proses pengucapan dan struktur rumus-rumus tatabahasa. Menurut Chomsky, semua bentuk pengucapan kanak-kanak berlandaskan satu sistem peraturan yang sudah sedia ada. Sistem ini dikenali sebagai:
a. Struktur Permukaan: struktur ini jelas dapat dilihat dan didengar dalam pengucapan. Struktur ini sebenarnya hanya sebahagian kecil daripada proses penghasilan rumus-rumus tatabahasa kanak-kanak tersebut.
b. Struktur Dalaman: struktur ini pula merupakan bahagian yang paling penting dalam pembinaan rumus tatabahasa kanak-kanak. Bahagian ini adalah 'engin' bagi segala perlakuan bahasa. Apabila proses pertuturan berlaku, apa yang dapat dilihat atau didengar adalah cuma struktur kuaran sahaja. Sebaliknya sebahagian besar penyusunan rumus tatabahasa berlegar dalam otak kanak-kanak tersebut. Menurut Chomsky, bahagian inilah yang mendasari segala aktiviti lisan seseorang. Bahagian ini terlalu kompleks dan memerlukan satu kaedah tertentu untuk melahirkannya sebagai struktur luaran. Oleh yang demikian aktiviti melukis dapat digunakan sebagai suatu pendekatan yang dapat mencungkil struktur dalaman linguistik seperti yang dijelaskan oleh Chomsky itu.

PEMBELAJARAN LISAN
Terdapat banyak teori dan pandangan yang menyentuh aspek pengajaran lisan. Kaedah pengajaran Montessory misalnya, mengatakan bahawa proses pembelajaran kanak-kanak seharusnya berpusatkan aktiviti yang diminati. Oleh itu, melukis sebagai satu aktiviti yang diminati sudah pasti akan menggerakkan proses pembelajaran mereka. Kaedah Montessory amat mementingkan kerja atau aktiviti yang dipilih sendiri oleh murid kerana aktiviti itu dapat dilakukannya melalui pengalaman masa lalunya (Salleh Mohd.Akib at. al.1997, 22)
Mengikut Wood (1989, 24) pula, aspek kefahaman dibina oleh kanak-kanak melalui his own self-selected problem solving bukannya terus daripada usaha guru mereka. Oleh itu Wood menyokong pandangan Vygotsky (1962) tentang kepentingan sesuatu aktiviti yang dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid.
Teori pembelajaran oleh Piaget pula menyatakan bahawa aktiviti bermain merupakan satu cara untuk membina perkembangan mental dan cara berfikir kanak-kanak. Sesungguhnya aktiviti bermain dan melukis merupakan aktiviti yang sudah lumrah dalam kehidupan kanak-kanak. Oleh yang demikian guru harus memanfaatkan kedua-dua aktiviti ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Aktiviti melukis sebenarnya merupakan curahan idea yang tersirat dalam pemikiran kanak-kanak. Apa yang digambarkan di atas kertas adalah gambaran daripada persepsi dan kreativiti mereka. Bruner (1966a, 1966b, 1971) menegaskan bahawa aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak sebahagian besarnya ditonjolkan melalui simbol-simbol seperti yang dipaparkan dalam lukisan mereka. Hasil lukisan adalah lahir daripada pemikiran rasional mereka.
Mengikut Chomsky (1965, 47) dalam Teori Transformational Grammernya, setiap perkataan yang diujarkan oleh kanak-kanak adalah berdasarkan rumus-rumus tatabahasa yang mempunyai dua struktur iaitu Struktur Permukaan dan Struktur Dalaman seperti yang telah dijelaskan di atas.

HUBUNGAN PENGAJARAN BAHASA DAN HEMISFERA OTAK
Aktiviti berbahasa sebenarnya berada dalam hemisfera otak yang berbeza. Kajian-kajian tentang peranan otak telah dilakukan sejak abad ke-19. Antaranya Paul Broca, Carl Wernicken, Gazzaniga dan yang terkenal ialah Roger Sperry (Mohd. Nashuha Jamidin, 1995, 18). Hasil kajian Roger Sperry menunjukkan otak manusia terdiri daripada dua hemisfera yang mempunyai peranan berbeza. Kebolehan berbahasa terletak pada hemisfera kiri (otak kiri) sedangkan kemahiran melukis berada di bahagian hemisfera kanan (otak kanan). Pembahagian kiri dan kanan melibatkan perbezaan dalam tahap memproses sesuatu maklumat. Kedua-dua hemisfera otak ini dapat digabungkan bagi menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna.
Oleh itu gabungan kedua-dua hemisfera otak sangat bermakna. Justeru itu, adalah wajar pengajaran bahasa dan aktiviti melukis disatukan. Gabungan antara keduanya dapat menghasilkan satu proses pembelajaran yang menarik dan berkesan. Berdasarkan kajian, didapati literalisasai otak berbeza antara kedua-dua hemisfera. Fungsi otak kiri lebih bertumpu pada aspek lisan, bacaan, berfikir dan menaakul. Sebaliknya otak kanan lebih bertumpu pada aspek melukis dan emosi (Feldman, 1993, 86). Kedua-dua hemisfera ini tidak sama cara memproses maklumat. Bagi otak kiri, proses berjalan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai kesempurnaan. Sebaliknya otak kanan menjalankan proses secara keseluruhan (Gazzaniga, M.S. 1983).
Jelaslah, bahagian kiri otak lebih dominan dalam bahasa. Bahagian ini mengawal keseluruhan proses kebahasaan seseorang manakala otak kanan pula lebih dominan terhadap aktiviti bersifat kesenian seperti melukis. Dalam TPR (Total Physical Response) pengajaran kemahiran mendengar dan lisan, mengarah pada penggunaan otak kanan di samping otak kiri (Palmer, H.E. 1923).
Dalam usia 6 hingga 10 tahun, pengaruh otak kanan ke atas aktiviti melukis sangat pantas. Perkembangan ini seharusnya dapat dimanfaatkan dalam pengajaran bahasa. Dalam KBSR, tumpuan lebih pada otak kiri yang menekankan kemahiran membaca, mengira dan menulis. Tumpuan kurang diberikan pada perkembangan otak kanan kerana aktiviti melukis, seni, muzik dan aktiviti kraf dianggap kurang menunjukkan kecerdikan. Sebaiknya proses penggabungan antara hemisfera otak perlu dilakukan untuk meningkatkan kebolehan murid (Poh Swee Hiang, 1998, 6).
Banyak kajian yang dijalankan mendapati perkembangan lisan kanak-kanak mempunyai hubungan yang rapat dengan asas perkembangan bacaan dan tulisan (Wilder, 1973, Burke, 1974, Royd, 1977). Kajian yang dibuat oleh Loban, 1963 mendapati murid-murid prasekolah yang tinggi penguasaan kemahiran lisannya, juga mempunyai tahap kemahiran bacaan yang tinggi. Ia mendapati memang wujud perhubungan yang rapat antara kedua-dua kebolehan ini. Bagi Weir (1962), peringkat umur 5 hingga 7 tahun adalah fasa pertama kanak-kanak didedahkan terhadap persekitaran secara meluas. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula menghubungkan persekitaran dengan diri sendiri. Tinjauan yang dibuat oleh Smith (1941) juga mendapati, pada peringkat ini dapat disaksikan tahap perkembangan perbendaharaan kata kanak-kanak semakin pesat berkembang.
Sungguhpun tahap penguasaan tatabahasa meningkat, namun kajian yang dijalankan oleh Terera K (1984) yang melihat hubungan struktur tulisan dengan kegunaannya dalam komunikasi, mendapati berlaku kesan sebaliknya. Murid-murid menghadapi kesukaran yang agak ketara dalam aspek penulisan sekiranya lisan mereka tidak begitu baik. Kelemahan berlaku kerana murid-murid tidak dapat mengaitkan pengalaman mereka dengan apa yang ditulis.
Pengaruh persekitan dalam lisan dan perkembangan perbendaharaan kata telah diuji oleh Luqman Nagy, 1985 dalam satu projek bahasa Inggeris di Arab Saudi. Ia telah menggunakan gambar yang dilukisnya sendiri bertemakan local scene . Setiap gambar diberikan beberapa perkataan sebagai panduan. Berdasarkan gambar tersebut, murid diminta membina ayat. Selama satu semester didapati murid dapat membina ayat dengan perbendaharaan kata yang sesuai apabila ditunjukkan gambar tanpa sebarang perkataan. Walau bagaimanapun persekitaran Arab Saudi telah membantu murid dalam menceritakan kembali gambar tersebut berbanding persekitaran asing. Hal ini mempunyai kaitan dengan keupayaan murid mencerna persekitaran yang difahami berbanding dengan apa yang ada di luar jangkauan pengalaman mereka.
KURIKULUM KINI
Pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) adalah perubahan ketara dalam kurikulum pendidikan rendah di negara kita. Perubahan ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979). Sewaktu pelaksanaan kurikulum lama, terdapat ramai murid yang gagal menguasai kemahiran asas seperti menulis, mengira dan membaca.
KBSR muncul sebagai "penyelamat" dengan perubahan yang bertujuan untuk memperbaiki tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas tersebut. Dua tahap (Tahap 1 dan 2) diperkenalkan dalam mengasingkan dua peringkat pembelajaran murid. Pada tahap 1 tumpuan diberikan pada pembinaan kemahiran asas yang tiga (membaca, menulis dan mengira) dan pada tahap 2 pula penekanan pada isi pelajaran.
Selama tiga tahun, dari tahun 1 hingga 3 murid ditekankan dengan kemahiran tersebut. Namun begitu, tahap penguasaan bahasa Melayu contohnya, masih lagi rendah kerana masih ramai murid yang tidak dapat menguasainya. Akhirnya ramai yang tidak dapat membaca dan menulis. KBSR juga menerima nasib seperti KLSR.
KBSR menyarankan pelbagai pendekatan agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik. Dalam pengajaran bahasa Melayu misalnya, kaedah pengajaran lisan dengan konsep gabung jalin dan bersepadu dititikberatkan dalam kelas. Namun usaha ini tidak kesampaian. Kaedah pengajaran dan pembelajaran akhirnya kembali kepada cara lama (KLSR).
Dalam pengajaran lisan, teknik penggunaan gambar sudah menjadi satu yang sinonim dengan lisan itu sendiri. Penggunaan gambar tunggal atau bersiri menjadi kemestian kepada guru bahasa. Sejak dari KLSR hingga KBSR teknik ini masih kekal. Gambar tunggal misalnya, selalu digunakan sebagai bahan rangsangan terhadap murid dalam menjana idea dan menyusun ayat. Sejauh manakah gambar tunggal ini dapat memainkan peranannya? Apa yang berlaku. Gambar tunggal tidak berupaya meneroka pengetahuan, pengalaman dan kemahiran lisan murid. Gambar tunggal terbatas dalam menggerakkan struktur dalaman rumus-rumus tatabahasa kerana penglibatan murid sekadar sebagai pengguna akhir (Chomsky, 1965, 48).
Oleh yang demikian, seharusnya aktiviti melukis diberi ruang bagi mencuba 'nasib' dalam memecah kebuntuan tersebut. Dengan menggunakan kaedah melukis, besar kemungkinan guru dapat menggerakkan struktur dalaman dan luaran rumus-rumus tatabahasa murid.

PELAKSANAANNYA PENILAIAN LISAN
Di dalam analisis proses pertuturan, terdapat 5 komponen yang dapat dipertimbangkan untuk aktiviti penilaian lisan iaitu :
i. Penyebutan termasuklah cirri-ciri segmental dan bukan segmental : vocal, konsonan, pola tekanan dan intonasi.
ii. Tatabahasa
iii. Kosakata
iv. Kelancaran ( keselesaan dan kelajuan pertuturan)
v. Kefahaman (penting kerana untuk bertindak balas dan berhubung secara lisan untuk sesuatu atau memulakan pertuturan )

JENIS-JENIS PENILAIAN LISAN
Penilaian lisan boleh digolongkan kepada beberapa jenis iaitu :
i. Temuduga – temuduga yang tidak berstruktur tetapi dinilai berdasarkan skala yang disusun rapi.
ii. Pertuturan Berstruktur – sample pertuturan yang berstruktur dan biasanya dirakamkan berdasarkan criteria yang sangat khusus.
iii. Kertas dan pensel
Ujian objektif dapat dilakukan terhadap penyebutan dengan menggunakanb kertas dan pensel. Pelajar diberi ujian pendengaran dan mereka mencatat bukti kebolehannya di dalam mendengar, dengan menulis atau menanda jawapan pada kertas.


TUJUAN PENILAIAN LISAN DIADAKAN
Wujudnya ketidakseragaman di dalam pengucapan bahasa Malaysia di kalangan penduduk negara ini menjadi fokus utama kenapa penilaian lisan diperkenalkan. Jadi penilian lisan diperkenalkan bertujuan untuk mempertingkatkan tahap penyebutan bahasa Malaysia Baku. Tambahan pula, Negara Nalaysia dapat menghasilkan satu identiti kebangsaan melalui pengucapan Bahasa Malaysia. Penilaian lisan di sekolah-sekolah pada peringkar UPSR (di mansuhkan mulai 1994 ), PMR dan SPM adalah memerlukan pencapaian pelajar suapaya dapat bertutur di dalam bahasa Malaysia baku yang mudah difahami.

PENGISIAN PENILAIAN LISAN DI SEKOLAH
Ujian lisan yang diperkenalkan untuk peperiksaan PMR dan SPM biasanya dijalankan lebih awal daripada daripada peperiksaan bertulis. Calon yang akan menjalani ujian lisan dikehendaki menduduki tiga jenis ujian yang diadakan iaitu :
i. Bacaan dan Kefahaman
Ujian bacaan dan kefahaman melibatkan kelancaran membaca, intonasi bacaan, sebutan perkataan dan kefasihan
ii. Kelancaran
Seseorang calon yang diuji dari segi alunan dan kepantasan suaranya. Tanda baca seperti titik, koma, koma bertitik, tanda soal, seruan dan sebagainya, menentukan nada dan tempat berhenti atau tempat mengambil nafas sebentar.
iii. Sebutan
Sebutan perkataan hendaklah terang dan jelas. Sebaik-baik tidak teragaak-agak dan tergagap-gagap. Perkataan yang bunyinya hamper serupa tetapi membawaq maksud yang berbeza harus dipertimbangkan. Begitu juga dengan membunyikan kata pinjaman.
iv. Intonasi
Intonasi juga amat penting dalam penilaian lisan. Penilai akan menentukan sama ada sesuatu perkataan dibaca dengan suara yang tinggi atau rendah dan berinteraksi dengan tanda-tanda bacaan.
v. Perbualan
Perbualan juga merupakan sebahagian daripada penilaian lisan. Tujuan perbualan diadakan untuk mengetahui sejauhmana seseorang itu dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Malaysia.

















CONTOH PELAKSANAAN PENILAIAN LISAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Proses pengajaran bahasa selalunya mengambil masa yang panjang. Dalam situasi biasa peruntukan ialah dua waktu berterusan dan dalam jadual anjal lebih daripada itu. Ruang yang lebih luas ini memberi kemudahan kepada guru dalam melaksanakan kaedah ini.
Seorang guru yang ingin mengajar lisan boleh memulakan aktivitinya dengan mengedarkan kertas-kertas kosong dan meminta murid melukis apa sahaja yang berkaitan dengan tajuk yang hendak diajar. Misalnya, guru mengajar tajuk 'Kemalangan Jalan Raya', murid secara bebas boleh meluahkan pengalaman melihat, mendengar atau yang dialami di atas kertas. Peruntukan masa dua puluh minit atau satu waktu diberi agar murid bebas mencurahkan pengalaman mereka. Biarkan murid melukis apa sahaja yang mereka mahu.
Selepas masa yang diperuntukan, murid mempamerkan lukisan mereka. Guru seterusnya boleh mengarahkan murid menceritakan apa yang dilukis mereka di hadapan kelas. Pada peringkat ini sesi soal jawab berdasarkan lukisan tersebut dapat dilakukan. Guru bukan sahaja dapat menggerakkan murid tersebut malah seluruh kelas dapat mengambil bahagian.
Cara begini akan dapat membantu murid bercerita malah dapat mencungkil kreativiti mereka di samping berani tampil di hadapan kelas. Hal ini mungkin menjadi lebih menarik dengan sedikit pujian daripada guru.
Aktiviti di atas boleh dipanjangkan lagi dengan menulis karangan berdasarkan lisan daripada gambar yang dilukis oleh murid. Pengajaran karangan menjadi lebih menarik dan dapat dilakukan secara individu atau kumpulan. Apa yang penting ialah sejauh mana guru sanggup mengubah paradigma mereka daripada dikongkong oleh kaedah masa lalu.

Penggunaan kaedah ini dapat memberi ruang kepada guru untuk melihat:
Kelancaran lisan:
# struktur ayat yang lengkap
# kepetahan bertutur tanpa sekatan
Perkembangan tatabahasa:
# jumlah kosa kata yang dapat dihasilkan
Aliran idea:
# dapat mengaitkan satu idea dengan idea yang lain
# pertautan wacana dalam pengucapan
KESIMPULAN
Terdapat berbagai-bagai kaedah yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi tiada satu pun yang dapat dianggap paling sesuai serta konsisten penggunaannya. Penerokaan dan percubaan amat diperlukan dalam proses ini agar penyampaian guru menjadi lebih menarik. Cadangan penggunaan kaedah melukis adalah salah satu cara yang cuba diketengahkan. Semoga percubaan ini akan membawa kejayaan.
RUJUKAN
Burke,S.J.(1974).Language Acquisition,Language Learning and Language
Teaching.IRAL.12 pp.53 – 68.
Brown,H.D.(1994).Teaching by Principles – An Interactive Approach to
Language Pedagogy. New Jersey: Prentice Hall Regent.
Bruner,J.S. (1966a).The Process of Education .Cambridge Mass: Harvard
University Press.
_________( 1966b).Toward a Theory of Education.: Cambridge Mass: Harvard
University Press.
_________(1971)The Relevence of Education.New York: W.W.Norton and Co.
Chomsky ,N.(1965). Aspect of the Theory of Syntax . Massachussetts:
M.I.T.Cambridge.
_________Developing your child’s Potential. 1987 Virginia: Time Life Books.
Feldman,R.S.(1993).Understanding Psychology. McGraw – Hill,Inc.
Gazzaniga,M.S.(1983).Right-hemisphere language following brain bisection : A
twenty-year perspective.American Psychologist. (p.p.87 –157 ),New
York: Holt.
Loban,W.D.( 1963).The Language of Elementary School Children. Campaign
Illinois: National Council of Teacher’s of English.
Luqman Nagy (1985).Picture Power: A Technique for Reviewing Vocabulary.
FORUM V. XXIII,January 1985.Washington,D.C.: U.S.Government
Printing Office.
Muhd Hilmy Hj. Ismail(1982).Pembelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah
Rendah.K.L.:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd.Nashuha Jamidin dan rakan-rakan ( 1995). Kemahiran Berfikir dan
Belajar.Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Palmer, H.E. ( 1923).The Oral Method of Teaching Languages. Cambridge : Heffer Royd,G.A.& Jones,D.M.( 1977). Teaching Communication Skills in the
Elementary School.New York: Dc.Van Vastrand Co.
Smith, M.K.( 1941) Measurement of the Size of General English Vocabulary Through the Elementary Grades and High School. Genetic Psychological
Monographs. 24 .pp 311 – 345.
Saleh Mohd.Akib, Ismail Idris dan Hamzah Mahmood.( 1997).Prinsip dan Kaedah Pengajaran Bahasa.Kuala Lumpur: Pustaka Aman Press.
Terera, K. (1984).Children’s Writing and Reading, Analysis Classroom
Language. Oxford: Basil Blackwell.

0 comments: